Wednesday, October 21, 2015


Ketika pemeriksaan dilakukan, polis menemui sepucuk pistol berwarna hitam yang tertera tulisan Walther CP99 Compact dengan nombor siri 12L20520.  Amir berkata, pistol berkenaan adalah pemberian seorang peminat padanya kira-kira lapan bulan lalu.
“Saya tidak tahu menjadi kesalahan jika memiliki pistol mainan. Saya juga tidak tahu perlu memiliki lesen untuk memiliki pistol mainan. Tidak dinafikan, pistol berkenaan menyerupai pistol, tetapi ia hanyalah pistol mainan.
“Selalunya, saya letak pistol berkenaan di rumah untuk kegunaan menembak cicak, tetapi pada tengah hari semalam, anak saya membawa turun dan tertinggal dalam kereta.  Saya tidak sempat membawa naik semula kerana bergegas ke studio untuk latihan vokal program Gegar Vaganza2.
“Bagaimanapun, saya kurang bernasib baik apabila ditahan sepasukan polis ketika berada dalam kereta di kawasan letak kereta di rumah selepas pulang latihan,” katanya.
Amir berkata, ketika ditahan, pistol berkenaan berada di tepi pehanya.
“Ketika itu, saya baharu saja mahu mematikan enjin kereta, saya didatangi sepasukan polis. Apabila nak keluar dari kereta, mereka ternampak pistol berkenaan.  Saya mengakui pistol itu milik saya kerana saya tahu itu pistol mainan. Jadi, saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk soal siasat. 
“Alhamdulillah, saya dibebaskan tidak sampai 24 jam selepas disoal siasat. Berita saya ditahan reman tidak benar. Saya memberi kerjasama kepada polis kerana saya tahu saya tidak bersalah, saya bukan perompak atau penjenayah. Tiada apa yang harus saya takutkan,” katanya.
Amir berkata, dia memaafkan mereka yang meviralkan gambar dan pistol miliknya itu.
“Tidak mengapalah, saya sudah maafkan. Saya tidak mahu menuduh sesiapa dan sudah melupakannya. Saya kini sudah dibebaskan dan paling penting, pihak polis mempercayai keterangan saya, mengakui apa yang berlaku tidak menjejaskan tumpuannya pada program realiti, Gegar Vaganza2 yang disertainya.

0 comments:

Post a Comment